Friday 29 March 2013

Ulangtahun Perkahwinan Saya

30 tahun yang lalu, tanggal 6 Mac 1983...ketika saya berusia 21 tahun 3 bulan 17 hari...saya telah diijabkabulkan dengan rakan sepejabat. Dia bernama Nor Azman Zainudin, ketika itu usianya 18 tahun 8 bulan dan 21 hari...usia yg masih muda tidak menghalang kami utk mengambil keputusan menjadi suami isteri walaupun dalam serba kekurangan...

(hanya foto ini boleh dimuat di sini, foto tahun 1983...zaman slim la ni...hehe)

Tidak lama berkenalan, cuma 10 bulan tetapi takdir Allah telah menentukan tarikh 6 Mac  1983 itu sebagai tarikh untuk kami menjadi suami isteri, tak siapa boleh menghalangnya. Alhamdulillah, keputusan kami untuk mendirikan rumahtangga mendapat persetujuan kedua-dua belah pihak. Majlis di sebelah saya di Kuantan sangat-sangat sederhana...ijab kabul, persandingan, makan-makan, khusus untuk keluarga rapat sahaja. Tiada undangan lain. Saya tidak datang daripada keluarga kaya, untuk tidak menyusahkan ibubapa; semua perbelanjaan kenduri kecil itu adalah hasil wang simpanan saya...alhamdulillah.

6 Mac 2008 ~ ulangtahun perkahwinan ke 25 ~ meraikan cinta di Genting Highlands

Oleh kerana wang simpanan habis untuk majlis kecil di sebelah saya, juga membeli perabut-perabut murah paling minima untuk rumah kecil yang disewa di Setapak; maka 'bulan madu' tiada untuk kami berdua. Sedihnya, ada kawan yang berkahwin hampir sama tarikhnya dengan kami telah pergi berbulan madu di Pulau Rawa, Johor. Saya dengar dan telan air liur saja la...hehehe

6 Mac 2009 ~ ulangtahun perkahwinan ke 26 ~ meraikan cinta di Cameron Highlands

tanggal kami diijabkabul 6.3.83 kami abadikan pada no. pendaftaran kereta kami ~ WRF 6383 dan WVR 6383

Tapi saya adalah seorang yang penuh dengan angan-angan...jika ada duit saya berangan untuk meraikan ulangtahun perkahwinan saya setiap tahun. Ke mana-mana sahaja berdua atau pun dengan anak-anak. Dan angan-angan itu menjadi kenyataan...walaupun bukanlah sampai ke destinasi luar negara, memadai lah mengikut kemampuan diri; meraikan cinta cara paling sederhana...

6 Mac 2010 ~ ulangtahun perkahwinan ke 27 ~ meraikan cinta di Kota Bharu

foto keluarga pada 6 Mac 2010 ~ Kota Bharu, Kelantan

6 Mac 2011 ~ ulangtahun perkahwinan ke 28 ~ meraikan cinta di Pulau Pinang

foto keluarga pada 6 Mac 2011 ~ Pulau Pinang

6 Mac 2012 ~ ulangtahun perkahwinan ke 29 ~ meraikan cinta di Pulau Langkawi

foto keluarga pada 6 Mac 2012 ~ Pulau Langkawi

6 Mac 2012 ~ Gunung Mat Cincang, Langkawi

Dan 6 Mac 2013 lalu, genap 30 kali kami meraikan cinta cara kami...tahun ini hanya ke Bukit Fraser walaupun idea asalnya hendak ke Singapura. Kekangan anak-anak yang bersekolah menyebabkan kami cuma bermalam semalam sahaja di Bukit Fraser. Tidak mengapa, asalkan pada tarikh 6 Mac itu kami dapat meraikan hari istimewa itu bersama-sama...

6 Mac 2013 ~ ulangtahun perkahwinan ke 30 ~ meraikan cinta di Fraser's Hill

foto keluarga pada 6 Mac 2013 ~ Fraser's Hill

bersama 3 permata hati kami ~ Anis Adrina, Alia Amanda dan Aina Arissa

Sebagai kenang-kenangan, disertakan beberapa foto yang diambil sewaktu tarikh 6 Mac setiap tahun, saat kami meraikan cinta bersama-sama (gambar2 lama tidak dapat dipost di sini, atas beberapa sebab ~ harap maaf)

Tuesday 19 March 2013

Wishlist & KPI umrah saya

Seperti kebanyakan orang lain, saya juga mempunyai cita2, keinginan, impian, harapan, angan2, kemahuan dan lain2 perkataan yang punya maksud serupa. Namun segala keinginan yang saya sebut wishlist itu tidaklah terlalu tinggi, kerana saya mengambil kira kemampuan diri. Keterbatasan untuk mencapainya. Waktu kecil, arwah mak sering berkata bahawa sayalah anaknya yang kuat berangan. Teringat janji saya pada arwah masa saya bersekolah dulu, "Nanti kalau saya dah kerja, saya nak beli kereta. Nak bawa mak jalan2 naik kereta saya,". Sayangnya saya tak berkesempatan menunaikan janji tersebut ketika saya membeli kereta pertama saya pada tahun 1998. Walaupun cuma sebuah Kancil berwarna merah, namun saya sangat berbangga kerana satu impian saya telah tercapai.

( saat bahagia saya bersama 2 perkara yang saya suka ~ Quran & Kaabah )

Berbalik kepada wishlist saya, ia bermula dengan angan2 dan keinginan. Sebagai manusia yang banyak angan2, banyaklah perkara yang ada dalam wishlist saya. Dan selalunya apa yang ada dalam wishlist saya tu turut saya sertakan dengan tarikh tamat tempoh. Contoh, saya nak sekian2 perkara dicapai paling lewat sehingga tarikh sekian2. Jadi saya akan berusaha dengan gigih untuk mencapainya. Alhamdulillah, disebabkan apa yang ada dalam wishlist saya bukanlah hebat sangat, maka kebanyakannya telah dapat dicapai mengikut ketetapan tarikhnya. Tidaklah saya masukkan ke dalam wishlist saya nak beli kereta berharga lebih 100 ribu sebab memang tahu saya tak mampu. Atau mahu mendiami rumah semi D sedangkan nak beli rumah teres setingkat pun tiada dalam kamus saya. Jadi wishlist saya, 'ala2 manja je'...hehehe

( counter comel ini murah dan mudah digunakan di mana2 sahaja ~ berzikir dalam senyap, mendidik hati supaya sentiasa ingat pd Allah & kekasihNya )

Mengerjakan umrah juga termasuk dalam wishlist saya setelah impian saya ingin menunaikan haji sebelum umur 50 tahun, alhamdulillah telah sberjaya dicapai pd thn 2011 setelah menabung selama 24 tahun. Saya berasa sangat tenteram dan bahagia bila berada di hadapan Kaabah. Jadi pasti tiada salahnya jika terkini saya masukkan ke dalam wishlist saya ialah mahu mengerjakan umrah sekurang2nya sekali dalam tempoh 2 tahun. Saya akan lebih berhemat untuk tujuan ini. Mudah2an jua Allah memberi laluan mudah untuk saya memenuhi impian ini.

( saat yang ingin saya ulangi....lagi dan lagi, insyaAllah )

Ada pendapat mengatakan, kalau kita beribadah tak payah la nak mengira sangat. Contoh, kalau kita berzikir; tak payah kira banyak mana yang kita buat setiap hari. Tapi bagi saya, pendapat itu terpulang pada individu. Saya suka cara Ustaz Haji Mohd. Hasnil berpesan pada kami ~ "Ayah ibu sekelian, jangan lupa berselawat sekurangnya 1000 kali sehari, terutama apabila kita berada di Madinah,". Apabila kita menghitung, ia sebagai satu motivasi untuk mencapai KPI yang telah kita tetapkan. Contoh, pada musim haji kami berada di Madinah selama 10 hari, ustaz pesan sekurang2nya apabila meninggalkan bumi Madinah, selawat kita terhadap buah hati kita Nabi Muhammad SAW sekurang2nya 10,000 kali...

Setiap apa yang ustaz pesan, saya turut. Sebab saya tiada ilmu, apa yang ustaz katakan pada saya ia suatu yang baik untuk kita turuti. Barangkali disebabkan saya seorang yang suka membuat pengiraan (termasuk perbelanjaan setiap hari dll yang berkaitan), saya suka menghitung apa jua yang saya buat. Ia adalah cara terbaik saya untuk mendisiplinkan diri. Contohnya pada bulan Ramadhan, saya akan membuat KPI supaya khatam Quran, jadi saya mewajibkan diri membaca Quran sebanyak 20 mukasurat setiap hari. InsyaAllah tercapai KPI ini dengan disiplin yang tinggi (jangan mengelat..hihi).

( berdoa dan solat di hadapan Multazam, saat paling memberi kepuasan untuk semua jemaah umrah/haji)

Dengan faktor usia yang semakin meningkat, keadaan kaki yang terseliuh; KPI saya 'ala2 manja' je untuk umrah kali pertama ini. Kalau letak tinggi sangat, tak tercapai nanti saya kecewa. Waktu haji dulu, saya boleh dikatakan ke sana sini seorang diri, jadi saya tak perlu gusar. Saya sihat saya pergi awal ke masjid. Kalau letih dan mengantuk, pergi lewat sikit. KPI tetap ada tapi saya buat perlahan2 kerana jangkamasa juga lama. Tp waktu umrah ini, saya ada tanggung-jawab untuk sama2 menemankan saudara baru saya, Meen; jadi saya siap2 kawtim dengan Meen...

( antara benda yang apabila kita hanya memandang sahaja boleh mendatangkan pahala iaitu memandang Kaabah dan alQuran, subhanallah...begitu pemurahnya Allah kpd hamba2NYA )

Saya bagitahu Jasmine bahawa saya datang mengerjakan umrah dgn KPI yang telah saya tetapkan. Mulanya Meen agak pelik, lama2 dia turut mahu 'menyertai' saya dalam misi mencapai KPI tersebut. Dan alhamdulillah, saya telah berjaya mencapai KPI saya dan lebih membanggakan, KPI tersebut turut dilaksanakan dengan jayanya oleh Meen. Alhamdulillah, saya tabik dengan kesungguhan dia.

( Saran ustaz, perbanyakkan tawaf sunat. Kalau mampu 5 kali sehari....)

Secara jujurnya, saya ini bukanlah dalam kategori orang yang rajin beribadat. Malu mengakui tapi itulah hakikatnya. Memaksa diri atau saya sebut, mewajibkan diri melakukan sesuatu perkara yang baik adalah satu motivasi untuk diri sendiri. Tiada sesiapa yang akan bertanya kita, sudah solat kah hari ini? sudah Dhuha? sudah baca Quran? sudah zikir? sudah berselawat? sudah bersedekah? Tiada kan? Jadi tanggungjawab diri sendiri untuk melakukan semua yang wajib mahupun yang sunat secara konsisten dengan mengadakan KPI untuk diri sendiri.
( Meen (kanan) teman yg membantu melengkapkan KPI umrah saya bergambar dengan ustaz kesayangan kami, Ustaz Haji Mohd. Hasnil Abu Bakar yg banyak mendorong kami dlm beribadah, tQ ustaz )

Catatan ini bukan tujuannya untuk menunjuk bijak, saya umpama buah cempedak di luar pagar. Saya berkongsi pandangan semata2. Sila abaikan dan maafkan saya jika saya silap....

Monday 18 March 2013

Saudara baru saya

Saya tidak pernah kenal dia. Tetapi ia bermula kerana umrah ini. Apabila saya sudah confirm untuk menyertai umrah ini, seorang sahabat yang sama2 mengerjakan haji tahun 2011 dulu menelefon saya, katanya ~ "Hajah, ada client saya seorang saudara baru akan join grup umrah dengan hajah. Nama Jasmine, saya nak minta tolong hajah tunjukkan dia apa2 yang boleh. Dia baru first time pergi...kalau dapat duduk sebilik dengan hajah lagi bagus," kata Haji Suhaimi, ejen insuran hebat dari Melaka.

(Hajah Raja Norlia, saya dan Meen ~ setelah selesai Saie umrah kali ke 2 )

Jadi saya pun berkenalan dengan Jasmine Hanis sewaktu berkursus umrah sebanyak 3 kali. Alhamdulillah, tidak sukar untuk kami memulakan persahabatan. Dia mudah mesra dan ramah, memang ngam dengan saya. Beliau yang saya panggil Meen, seorang pensyarah di Politeknik Melaka berasal dari Negeri Di bawah Bayu....

( Jasmine Hanis Abdullah )

Alhamdulillah, di Makkah kami ditempatkan sebilik (atas permintaan kami dengan pihak urus setia). Saya, Meen, Hajah Tengku Maizura (kami sama2 mengerjakan haji dengan Tabung haji Travel 2011 tapi hanya mengenali melalui FB) dan aunty Hajah Tengku Maizura, Hajah Raja Norlia. 

( Saya dan Meen, selepas tawaf sunat )

Meen sangat mudah bertolak-ansur. Allah memang mempertemukan saya dengan insan2 yang sangat baik, seperti Meen yang sering mengikut saja apa cadangan saya. Dia tidak pernah membantah. Walaupun saya jenis orang yang suka melakukan sesuatu seorang diri, namun dengan Meen saya bagaikan ada tanggung-jawab. Apabila mahu ke masjid, saya tidak kisah menunggu beliau. Dan dia juga sabar dengan karenah saya yang sangat tidak penyabar ni...

( Meen dan Hajah Raja Norlia yang dipanggil aunty, Meen pandai memanjakan dirinya )

Saya tidak banyak ilmu, namun sedikit ilmu yang saya ada; saya kongsi bersama Meen. Seperti menjaga seorang adik, saya menjaga dia. Dia saudara baru, sewajarnya saya membimbing dia apa yang saya tahu. Walaupun baru 2 tahun memeluk agama Islam, namun pengetahuan Meen tentang Islam tidak boleh diperkecilkan. 

( Hajah Tengku Maizura, saya dan Meen )

Setiap kali mahu melangkah ke masjid, Meen mahu saya baca doa mohon cahaya yang diajar oleh Ustaz Haji Mohd. Hasnil, dia akan aminkan. Setiap kali selesai solat, Meen akan aminkan doa yang saya baca. Dia akan bertanya apakah lagi solat2 sunat yang boleh dia buat sepanjang beriktikaf di Masjidilharam dan Masjid Nabawi. Kami sama2 membaca Quran dan saya sangat berbangga dengan Meen kerana dapat khatam AlQuran di Madinah. Dan kami sama2 berbuka puasa sunat pada senja Isnin, tidak jauh dari Jabal Nur. Dan pada majlis itu, Meen telah sedekahkan seekor kambing yang dimasak dengan begitu enaknya. Meen membuat aqiqah untuk dirinya sendiri.

( Juadah ini sumbangan Meen, daging kambing aqiqah dirinya sendiri ~ untuk kami berbuka, alhamdulillah )

Banyak sekali memori manis kami berdua. Kami sama2 melakukan ibadah baik di Makkah mahupun di Madinah. Meen sangat baik hati, pemurah orangnya. Sangat bertuah lelaki yang berjaya menambat hatinya kelak, kerana dia seorang gadis yang baik. Yang mahu mempelajari Islam, yang mahu menjadi Muslim sejati. Buat Meen, terima kasih adikku....Allah mempertemukan kita, menyimpulkan rasa kasih sayang kita saat menjadi tetamuNya....

Sakit itu menginsafkan saya

Sampai sekarang kaki saya masih sakit. Bila banyak bergerak, hilang sakit. Bila duduk lama atau memandu, lepas tu mesti sakit semula. Sepanjang mengerjakan umrah, hanya kaki saja yang sakit tapi saya tidak demam atau batuk. Alhamdulillah, sekurang2nya kesakitan itu menginsafkan saya. Sebabnya saya ni manusia yang jarang sakit, dan sekarang sejak balik dari umrah; saya batuk. Tak mengapa, saya akan sentiasa positif dengan apa yang berlaku....

Sepanjang di Makkah dan Madinah, sakit tu kadang2 sangat menganggu. Bila bangun untuk ke masjid bagi mengerjakan solat Subuh, ia sangat menyakitkan. Memang memaksa diri untuk bangun setiap pagi. Mmg betul kata Ustaz Azhar Idrus, kadang2 mengerjakan ibadah ni kena paksa diri. Tapi sekejap je rasa sakit itu, selalunya bila dah nampak Kaabah, sakit ni mcm tau2 je hilang sendiri. Kata kawan sebilik saya Jasmine, "akak ni bila tawaf je bukan main laju lagi, hilang sakit kaki.."      Memang pun, automatik sakit hilang bila bertawaf. Memang pelik, abis tawaf sakit tu datang balik...hmmmmm heran jugak nih!

( Melihat foto ini sahaja membuatkan airmata saya bergenang, betapa beruntungnya kita yang dilahirkan sempurna )

Ada beberapa pengalaman yang sangat terkesan di hati saya, saja mahu berkongsi dengan pembaca blog ini. Satu hari apabila pulang dari program ziarah termasuk pergi bermiqat di Ja'ranah untuk mengerjakan umrah kali kedua, waktu pulang ke hotel sudah masuk waktu Zuhur. Bas yang membawa kami tidak boleh menurunkan kami di depan hotel (jalan sudah ditutup kerana laluan bas di hadapan hotel merupakan  laluan ke Masjidilharam). 

Maka kami kena turun lebih kurang 100 meter dari hotel, ketika turun bas saya berasa sakit yang amat sangat. Rasa memang tak boleh nak melangkah. Namun apa yang Allah tunjukkan kepada saya? Entah dari mana datangnya, seorang jemaah perempuan (mungkin orang Pakistan) berjalan di hadapan saya. Dia berjalan dalam keadaan seperti ketika kita sedang ruqu'. Bongkok tiga kalau dalam bahasa kita. Ya Allah, Dia tunjukkan contoh kepada saya bahawa kesakitan saya cuma sedikit. (sayang tak sempat mengambil gambar kerana jemaah ini berjalan dengan laju, saya pulak dah tak larat nak mengambil gambar).

( Tua dan uzur tidak menghalang  jemaah ini drp menunaikan tanggung-jawabnya sebagai seorang hamba Allah )

Satu lagi pengalaman juga pengajaran yang Allah tunjukkan terang-terangan kepada saya agar saya menginsafi diri ialah ketika saya sedang bertawaf. Waktu itu selepas saya selesai solat Asar, sekitar jam 4.00 petang. Cuaca masih panas terik. Saya dan rakan sebilik, Jasmine mahu mengerjakan tawaf sunat. Tapi kaki saya memang sakit waktu tu. Namun selalunya bila tawaf, kaki tak berasa sakit maka saya pun memulakan tawaf. 

( Alhamdulillah, kecacatan dan kesulitan semakin meningkatkan ketakwaan seorang hamba kepadaNYA )

Dalam hati mengeluh, "ya Allah berikan aku kekuatan untuk tawaf dalam cuaca yang panas ni," tiba-tiba di sebelah saya terlihat seorang jemaah wanita bertawaf secara merangkak. Semua orang memberi laluan kepadanya. Subhanallah, cepat2 saya mengambil gambar jemaah tersebut. Dan apalagi, airmata saya laju mengalir...saya menangis bukan sahaja kerana simpati kepadanya tetapi ia lebih kepada menginsafi diri. Berasa syukur yang amat sangat, apalah sedikit kesakitan yang saya alami berbanding dengan jemaah tersebut yang seumur hidupnya barangkali  terpaksa bergerak ke sana ke sini dengan merangkak! Tak tertahan airmata saya ketika itu, saya berasa tenteram apabila Jasmine memeluk saya, "sabar kak, sabar yer..." 

Ya Allah, sejak itu saya malu untuk mengeluh. Malu pada Allah. Banyak bukti yang Dia tunjukkan kepada saya supaya saya menginsafi diri. Supaya saya bersyukur, supaya redha dengan apa yang Dia berikan. Dan terima kasih kepada rakan2 yang mengerjakan umrah bersama-sama, mereka sangat prihatin...sering bertanya khabar setiap kali kami bertemu di mana2.

( Inilah tukang urut bidan terjun yg rajin melayan saya..Jasmine Hanis (kiri) dan Hajah Tengku Maizura, mereka bergilir2 mengurut dan membalut kaki saya sebelum tidur setiap hari, t.kasih adik2ku...)

Terima kasih Allah, kerana menyayangi saya...saat saya berasa sulit, Allah membuka mata saya untuk melihat sesuatu dari sudut yang lebih luas. Untuk  terus bersyukur atas segala nikmatNya yang tidak terhitung banyaknya kepada saya selama ini...Alhamdulillah.


Umrah Pertama Saya

Waktu mengerjakan haji pada 2011, dalam hati sentiasa terdetik untuk datang lagi ke tanah suci, untuk mengerjakan umrah pula. Seingat saya waktu tu saya di Makkah, selesai tawaf ifadah (tawaf haji) pada 11.11.11, saya berkata dlm hati, "ya Allah, aku ingin datang lagi ke sini. aku ingin menginap lagi di hotel ini (Dar Al-Eiman Royal Hotel), ingin datang bersama Ustaz Haji Mohd. Hasnil Abu Bakar, kalau boleh pada bulan Februari atau Mac,"

( sehelai telekung, sehelai seluar panjang  putih memadai utk perjalanan umrah ini )

Itulah bisikan hati saya. Sentiasa ada dalam hati. tapi saya tidak tahu bila. Maklum, gaji tak banyak, simpanan tak seberapa. Bukan sedikit kos kalau mahu datang. untuk datang mengerjakan haji pun, saya menyimpan 24 tahun. Tapi tidak mengapa, doa saya kepada Allah, "ya Allah, jemput lagi aku datang menjadi tetamuMU, jemput lagi aku berulang kali ya Allah," dengan airmata berjurai setiap kali solat di hadapan Kaabah.

( konon bawak lotion bagai, tp takde masa nak membelek diri dgn lotion ni..sibuk berkejar ke masjid jer)

Tiba2 pada 11 september 2012, saya terbaca post Ustaz Haji Mohd. Hasnil  di wall FB grup Graduan Nilam Mabrur 1432h, yg menyatakan ada 1 kekosongan bagi pakej umrah pada Februari 2013. Subhanallah, berdebar2 hati saya membacanya. Saya terus mesej ustaz, saya nak pergi. Jangan la bagi tempat kosong tu pada orang lain. pergi dengan beliau memang keinginan saya, pergi bulan Februari pulak tu...dan masyaAllah, ustaz kata kami akan menginap di Dar Al-Eiman Royal Hotel. Saya mmg tak pernah lupa bisikan hati saya hampir setahun lalu, dan kini Allah telah menjawabnya. Semua permintaan saya Allah penuhi....Terima kasih Allah, airmata saya bergenang...setelah mendapat izin suami, saya membayar pendahuluan. Maka confirm la tempat terakhir itu untuk saya....alhamdulillah.

( hanger mcm ni sangat berguna jika kita nak adakan aktiviti cuci mencuci waktu berada di tanah suci )

Lebih 5 bulan kemudian, tanggal 21 Februari 2013, perjalanan umrah pertama saya bermula. Seawal pagi sesudah solat subuh, suami menghantar saya ke KL Sentral. Sempoi je, dulu pegi haji yang menghantar ke Kelana Jaya pun cuma suami dan 3 orang anak2 saya. Kali ni cukuplah suami hantar ke KL Sentral, naik ERL je. Saya ni simple je, suka berdikari dan tidak suka menyusahkan orang. Walaupun suami nak menghantar ke KLIA, saya kata lebih mudah ambil ERL...murah dan cepat.

( ni wajib bawa - stokin hadiah Hajah Aza Affandi dan colgate/berus gigi hadiah sahabat haji saya, doktor gigi,  Dr. Hajah Widya Suzanee )

( buku ini sangat berguna, wajib menjadi peneman sepanjang mengerjakan umrah/haji )

( saya membawa sehelai jubah saja, pengalaman haji bawa pakaian yg banyak akhirnya tak dipakai, sbb asyik membeli baju je masa di tanah suci )

Entah macamana, dalam kelam kabut pagi tu, kaki saya tergelecek waktu dah sampai ke kereta. Sakitnya bukan main, lama baru boleh bangun. Sepanjang perjalanan ke KL Sentral, kaki berdenyut2. Terseliuh la tu. Suami bertanya, "boleh ke ni?" bila melihat saya sehincut2 menarik beg pakaian saya. "Boleh jer..." jawab saya, hai takkan nak batalkan perjalanan yang saya tunggu lebih 5 bulan ni. 

( mujur pramugari memberikan bandage ni utk saya merawat kaki saya yg bengkak...)

( setiba di Jeddah, kaki saya bengkak. Kasut pun tak muat, alasan baik utk beli kasut baru...hehe )

( rupa kaki kiri saya yg pasti akan dibandagekan setiap malam sebelum tidur, supaya ia tidak bengkak apabila nak ke masjid di waktu subuh )

Memang kesakitan itu tak mudah pergi, dalam penerbangan saya dibekalkan bandage oleh pramugari. Nasib baik dalam beg sandang saya ada balm gamat. Setelah 9 jam dalam penerbangan, kaki makin bengkak walaupun ia telah dibandagekan. Tp saya redha dgn semua ujian Allah, sikit saja ni. Memang sepanjang umrah, kaki kiri saya bengkak (sebab tak diurut), mujur kawan2 sibilik, Jasmine dan Hajah Tengku Maizura membantu mengurut2 manja...terima kasih kawan2 yg prihatin.

( rakan umrah sepanjang perjalanan KL - Jeddah, tukang jahit dari Sentul...alamak, lupa namanya )

Bila ustaz kata sakit itu menghapus dosa2 kecil dan Allah lebih menyayangi hambaNya yang sakit, hati jadi tenteram....terima kasih Allah, meminjamkan rasa sakit ini supaya ketakwaan kita berlipat ganda. InsyaAllah...